Wednesday, 29 August 2012

MCT sentiasa di hati

Assalamualaikum. Ramadhan sudah lama meninggalkan kita, dan suasana meriahnya Syawal pula semakin kian pudar. Ini memperlihatkan betapa pantasnya masa berlalu meninggalkan kita. Apakah kita akan merasai Ramadhan dan Syawal tahun hadapan? Semua itu takdir dan ketentuan Illahi. Namun, sebagai hambaNya tidak salah untuk kita berdoa agar diperpanjangkan umur agar selamat tiba di Ramadhan dan Syawal 1434 hijrah kelak. 
Sebagai mantan pengerusi MCT, admin amat berharap agar semua ahli masih memilih dan mengekalkan MCT sebagai satu punca atau jalan untuk memaksimakan amalan. Admin juga berdoa agar MCT akan senantiasa berada di hati kita semua. Hal-hal peribadi seperti perkahwinan seumpamanya, tidak menghalang diri kita untuk terus optimum dalam menyalurkan komitmen terhadap persatuan ini. Hal ini kerana, perjuangan demi menegakkan agama Allah adalah satu perjuangan yang amat mulia. Pengorbanan demi pengorbanan dimestikan untuk memastikan Islam terus utuh di muka bumi. InsyaAllah, apabila MCT semakin berkembang, usaha dakwah juga dapat diperluaskan dengan jayanya. Ameen.

Saturday, 25 August 2012

Puasa Sepanjang Masa

 

Ramadhan 1433 hijrah telah berlalu meninggalkan kita beberapa hari yang lepas. Ada yang berduka kerananya dan tidak kurang pula ada yang berasa gembira. Bagaimana pula dengan anda? Sebenarnya kedatangan Syawal memperlengkap amalan kita semasa Ramadhan. Syawal bukan bulan untuk kita bersuka ria kerana terlepas daripada 'seksa' Ramadhan, tetapi Syawal merupakan bulan dimana kita meraikan kemenangan disamping mempertingkatkan amalan harian dengan ibadah-ibadah wajib dan sunat.
Salah satu daripada ibadah sunat yang boleh dilakukan dalam bulan ini ialah amalan berpuasa 6. Dalam satu hadis Riwayat Muslim, Ibn majah, Ahmad, Abu Daud dan Al-Tirmizi, "Sesiapa yang berpuasa selama 30 hari dalam Bulan Ramadhan dan disusuli pula dengan 6 hari dalam Bulan Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang masa (tahun)."
Jadi, Puasa 6 ini merupakan durian runtuh daripada Allah s.w.t kepada kita. Alangkah indahnya jika kita berupaya melaksanakannya. Puasa 6 ini boleh dilakukan seawal 2 Syawal dan sebaik-baiknya dilakukan secara berturut-turut (2-7 Syawal). Kalau tidak mampu, boleh dilakukan secara berselang-selang. Ada riwayat mengatakan bahawa, jika kita ada tertinggal puasa di bulan ramadhan kerana keuzuran, kita disunatkan melaksanakan puasa 6 terlebih dahulu sebelum mengganti puasa tersebut. Wallahualam.
 

Monday, 20 August 2012

Logo baru MCT

Admin bersama-sama Pengerusi dan Timbalan MCT telah bersepakat untuk menghasilkan logo yang baharu bagi MCT. Tiga rekaan terkini telah berjaya disiapkan. Nak pilih yang mana satu ya?


 

 
 
Faktor-faktor yang diambil kira untuk menghasilkan logo yang baharu:

1) Maksud bagi setiap elemen dalam logo.
2) Pemilihan warna.
3) Persetujuan daripada ahli-ahli persatuan.

Admin berharap dengan adanya logo yang baharu, komitmen setiap ahli juga akan semakin bertambah. Allahu Akbar!
 
 
 
Ilham warna bagi logo baharu adalah hasil daripada penelitian terhadap bendera Negara Palestin. Mengapa Palestin? Admin berpendapat bahawa setiap daripada kita harus ada perasaan ingin membantu saudara-saudara kita di sana yang pada masa ini sedang dipijak-pijak oleh syaitan-syaitan zionis. Manalah tahu, jika ada rezeki kita berkesempatan untuk ke Palestin satu hari nanti. Apapun bersamalah kita berdoa agar negara kelahiran para anbia ini dapat bebas daripada kekejaman syaitan-syaitan zionis laknatullah satu hari nanti . Ameen. Warna-warna Palestin di logo MCT menunjukkan bahawa MCT sentiasa menyokong perjuangan Palestin! Allahu Akbar!
 



Friday, 17 August 2012

Post-Mortem Ramadhan 1433 Hijrah!

Ramadhan bakal melabuhkan tirai tidak lama lagi. Keheningan Syawal mulai terasa. Ramai manusia yang beragama Islam membanjiri pusat-pusat membeli-belah untuk membeli persiapan untuk menyambut ketibaan Syawal. Sebahagian daripada mereka terlampau sibuk menyediakan kelengkapan sehingga terlupa untuk menjenguk Rumah Allah di saat-saat penghabisan Ramadhan. Ada diantara mereka beralasan bahawa kepenatan kerana kesana kemari mencari keperluan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri. Ada pula yang sibuk mengemas rumah, membersihkan halaman dan menghidupkan panjut-panjut agar persekitaran rumah kelihatan berseri-seri di hari raya kelak. Persoalannya, dimanakah kita? Adakah kita masih istiqamah dalam melakukan ibadah terhadap Allah s.w.t hingga saat ini? Atau kita juga tergolong antara mereka yang lalai? Cuba kita nilai diri kita melalui aspek-aspek di bawah:

1. Puasa penuh 30 hari.
2. Tarawih tak tinggal.
3. Tadarus setiap malam + khatam.
4. Qiamullail setiap malam.
5. Bersedekah.
6. Mempelbagaikan ibadah sunat.
7. dll.

Marilah kita sama-sama berdoa agar kita sentiasa dirahmati dan diredhaiNya. Admin ingin memohon ampun dan maaf jika tersalah kata dan terlanjur perbuatan kepada semua warga MCT. Dikesempatan ini admin ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri maaf zahir batin.

Saturday, 11 August 2012

Masjid.Crew.Tapah

Masjid Crew Tapah (MCT) merupakan sebuah pertubuhan NGO yang diasaskan pada Tahun 2010. Matlamat utama penubuhan MCT adalah untuk menarik minat dan keinginan para remaja ke arah Islam melalui penglibatan mereka dalam aktiviti-aktiviti keagamaan yang dijalankan. MCT kini bergiat aktif dalam menjalankan usaha-usaha dakwah disamping mempelbagaikan pengisian-pengisian kerohanian.