Ramadhan 1433 hijrah telah berlalu meninggalkan kita beberapa hari yang lepas. Ada yang berduka kerananya dan tidak kurang pula ada yang berasa gembira. Bagaimana pula dengan anda? Sebenarnya kedatangan Syawal memperlengkap amalan kita semasa Ramadhan. Syawal bukan bulan untuk kita bersuka ria kerana terlepas daripada 'seksa' Ramadhan, tetapi Syawal merupakan bulan dimana kita meraikan kemenangan disamping mempertingkatkan amalan harian dengan ibadah-ibadah wajib dan sunat.
Salah satu daripada ibadah sunat yang boleh dilakukan dalam bulan ini ialah amalan berpuasa 6. Dalam satu hadis Riwayat Muslim, Ibn majah, Ahmad, Abu Daud dan Al-Tirmizi, "Sesiapa yang berpuasa selama 30 hari dalam Bulan Ramadhan dan disusuli pula dengan 6 hari dalam Bulan Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang masa (tahun)."
Jadi, Puasa 6 ini merupakan durian runtuh daripada Allah s.w.t kepada kita. Alangkah indahnya jika kita berupaya melaksanakannya. Puasa 6 ini boleh dilakukan seawal 2 Syawal dan sebaik-baiknya dilakukan secara berturut-turut (2-7 Syawal). Kalau tidak mampu, boleh dilakukan secara berselang-selang. Ada riwayat mengatakan bahawa, jika kita ada tertinggal puasa di bulan ramadhan kerana keuzuran, kita disunatkan melaksanakan puasa 6 terlebih dahulu sebelum mengganti puasa tersebut. Wallahualam.
No comments:
Post a Comment